Sunday 19 January 2014

PERTANDINGAN MEWARNA & MENGEJA


19 Januari 2014 - Pertandingan Mewarna dan Mengeja telah diadakan pada pukul 2.00 hingga 5.00 petang di Perpustakaan Kuala Lumpur Cawangan Sri Sabah 3B. Program anjuran Perpustakaan Sri Sabah 3B dengan kerjasama Pemuda dan Puteri UMNO Sri Sabah 3B ini telah mendapat sambutan hangat dalam kalangan penduduk. Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Ketua Wanita Sri Sabah 3B, Puan Azizah Borhan dan Pengerusi Persatuan Penduduk, Tuan Haji Zainal.
 
Majlis ini telah dimulai dengan sesi pendaftaran peserta. Kemudian, peserta Pertandingan Mewarna mengambil tempat masing-masing sebelum acara dimulakan tepat pukul 2.15 petang. Terdapat dua (2) kategori Pertandingan mewarna yang telah dipertandingkan. Kategori A terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 3 manakala Kategori B pula terdiri daripada murid Tahun 4 hingga 5.
 
Selesai acara mewarna, Pertandingan Mengeja pula mengisi ruang acara. Pertandingan ini juga dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori 7 hingga 9 tahun dan kategori 10 hingga 12 tahun.
 
Persaingan sengit dapat disaksikan dalam kedua-dua kategori yang dipertandingkan ini memandangkan pesertanya hebat-hebat belaka. Tahap keyakinan diri yang ditonjolkan para peserta juga menunjukkan kanak-kanak Sri Sabah 3B ini berdaya maju dan mempunyai potensi untuk diketengahkan pada masa akan datang. 
 
Selesai acara mengeja, majlis diteruskan dengan ucapan Ketua Puteri UMNO Sri Sabah 3B, Cik Salizawati diikuti ucapan ringkas oleh Tuan Hj Zainal selaku pendokong majlis. Acara penyampaian hadiah kemudiannyan turut disampaikan. Kesemua 30 peserta mengeja telah mendapat hadiah saguhati demi memberi galakan atas keberanian mereka mengeja di hadapan khalayak manakala bagi pertandingan mewarna, saguhati diberikan kepada lima orang peserta bagi setiap kategori. Kesemua hadiah telah ditaja sepenuhnya oleh Perpustakaan Kuala Lumpur Cawangan Sri Sabah 3B.
 
Semoga program seperti ini akan diadakan pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment