Wednesday, 5 March 2014

PROGRAM GOTONG-ROYONG TAPAK NIAGA & BLOK 62 SRI SABAH 3B



2 Mac 2014 (Ahad)- Program Gotong-royong di tapak niaga Perumahan Awam Sri Sabah 3B telah berlangsung pada hari Ahad yang lalu. Program yang mendapat penglibatan penuh penduduk Blok 62 dan para peniaga di kawasan tersebut merupakan acara yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Sri Sabah 3B dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora.


            Selain penglibatan kaum bapa, kelibat para belia dan beliawanis Sri Sabah 3B turut kelihatan membantu. Hal ini menunjukkan kesepakatan dan sikap saling bekerjasama sesama penduduk di kawasan perumahan ini sangat utuh serta tidak mengenal usia. Kaum ibu juga tidak lupa menghulurkan bantuan biarpun tidak begitu gagah dan bertenaga untuk turut membersihkan kawasan. Mereka mengambil inisiatif dengan menyediakan juadah dan air untuk para peserta melepaskan penat dan lelah.

            Selain itu, penglibatan para peserta juga tidak bertumpu pada satu kaum sahaja. Buktinya, kaum India dan Cina turut turun padang membantu menjayakan program ini.

            Acara bermula seawal pukul 8.00 pagi di mana para peserta berkumpul di tapak niaga Blok 62. Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta sebelum para peserta diberikan tugasan dan peralatan untuk membersih. Para pekerja Alam Flora dan DBKL juga menunjukkan komitmen tinggi dengan bersungguh-sungguh membantu para penduduk membersihkan kawasan sekitar yang terlibat. 

            Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk, program seumpama ini akan dijalankan secara berperingkat memandangkan ia memerlukan kesungguhan dan semangat yang tinggi serta  penglibatan semua pihak terutama sekali daripada penduduk setempat. 

            Antara faktor utama keberjayaan pengendalian program dan pemilihan lokasi gotong-royong ini adalah ekoran kejadian kelibat ular telah dikesan kira-kira lima hari yang lalu di kawasan tersebut. Oleh itu, Persatuan Penduduk bersepakat mempercepatkan perlaksanaan program gotong-royong ini walaupun pada awalnya tarikhnya telahpun ditetapkan pada pertengahan bulan Mac 2014.

          Semoga program seperti ini akan diadakan secara berkala dan berterusan sepanjang tahun memandangkan manfaat yang diterima begitu baik kepada semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga ia juga dapat menyuntik semangat kepada para penduduk yang masih segan untuk menyertai sebarang program yang akan diadakan pada masa-masa akan datang.

No comments:

Post a Comment