Wednesday 5 March 2014

PROGRAM GOTONG-ROYONG TAPAK NIAGA & BLOK 62 SRI SABAH 3B



2 Mac 2014 (Ahad)- Program Gotong-royong di tapak niaga Perumahan Awam Sri Sabah 3B telah berlangsung pada hari Ahad yang lalu. Program yang mendapat penglibatan penuh penduduk Blok 62 dan para peniaga di kawasan tersebut merupakan acara yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Sri Sabah 3B dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora.


            Selain penglibatan kaum bapa, kelibat para belia dan beliawanis Sri Sabah 3B turut kelihatan membantu. Hal ini menunjukkan kesepakatan dan sikap saling bekerjasama sesama penduduk di kawasan perumahan ini sangat utuh serta tidak mengenal usia. Kaum ibu juga tidak lupa menghulurkan bantuan biarpun tidak begitu gagah dan bertenaga untuk turut membersihkan kawasan. Mereka mengambil inisiatif dengan menyediakan juadah dan air untuk para peserta melepaskan penat dan lelah.

            Selain itu, penglibatan para peserta juga tidak bertumpu pada satu kaum sahaja. Buktinya, kaum India dan Cina turut turun padang membantu menjayakan program ini.

            Acara bermula seawal pukul 8.00 pagi di mana para peserta berkumpul di tapak niaga Blok 62. Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta sebelum para peserta diberikan tugasan dan peralatan untuk membersih. Para pekerja Alam Flora dan DBKL juga menunjukkan komitmen tinggi dengan bersungguh-sungguh membantu para penduduk membersihkan kawasan sekitar yang terlibat. 

            Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk, program seumpama ini akan dijalankan secara berperingkat memandangkan ia memerlukan kesungguhan dan semangat yang tinggi serta  penglibatan semua pihak terutama sekali daripada penduduk setempat. 

            Antara faktor utama keberjayaan pengendalian program dan pemilihan lokasi gotong-royong ini adalah ekoran kejadian kelibat ular telah dikesan kira-kira lima hari yang lalu di kawasan tersebut. Oleh itu, Persatuan Penduduk bersepakat mempercepatkan perlaksanaan program gotong-royong ini walaupun pada awalnya tarikhnya telahpun ditetapkan pada pertengahan bulan Mac 2014.

          Semoga program seperti ini akan diadakan secara berkala dan berterusan sepanjang tahun memandangkan manfaat yang diterima begitu baik kepada semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga ia juga dapat menyuntik semangat kepada para penduduk yang masih segan untuk menyertai sebarang program yang akan diadakan pada masa-masa akan datang.

Sunday 19 January 2014

PERTANDINGAN MEWARNA & MENGEJA


19 Januari 2014 - Pertandingan Mewarna dan Mengeja telah diadakan pada pukul 2.00 hingga 5.00 petang di Perpustakaan Kuala Lumpur Cawangan Sri Sabah 3B. Program anjuran Perpustakaan Sri Sabah 3B dengan kerjasama Pemuda dan Puteri UMNO Sri Sabah 3B ini telah mendapat sambutan hangat dalam kalangan penduduk. Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Ketua Wanita Sri Sabah 3B, Puan Azizah Borhan dan Pengerusi Persatuan Penduduk, Tuan Haji Zainal.
 
Majlis ini telah dimulai dengan sesi pendaftaran peserta. Kemudian, peserta Pertandingan Mewarna mengambil tempat masing-masing sebelum acara dimulakan tepat pukul 2.15 petang. Terdapat dua (2) kategori Pertandingan mewarna yang telah dipertandingkan. Kategori A terdiri daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 3 manakala Kategori B pula terdiri daripada murid Tahun 4 hingga 5.
 
Selesai acara mewarna, Pertandingan Mengeja pula mengisi ruang acara. Pertandingan ini juga dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori 7 hingga 9 tahun dan kategori 10 hingga 12 tahun.
 
Persaingan sengit dapat disaksikan dalam kedua-dua kategori yang dipertandingkan ini memandangkan pesertanya hebat-hebat belaka. Tahap keyakinan diri yang ditonjolkan para peserta juga menunjukkan kanak-kanak Sri Sabah 3B ini berdaya maju dan mempunyai potensi untuk diketengahkan pada masa akan datang. 
 
Selesai acara mengeja, majlis diteruskan dengan ucapan Ketua Puteri UMNO Sri Sabah 3B, Cik Salizawati diikuti ucapan ringkas oleh Tuan Hj Zainal selaku pendokong majlis. Acara penyampaian hadiah kemudiannyan turut disampaikan. Kesemua 30 peserta mengeja telah mendapat hadiah saguhati demi memberi galakan atas keberanian mereka mengeja di hadapan khalayak manakala bagi pertandingan mewarna, saguhati diberikan kepada lima orang peserta bagi setiap kategori. Kesemua hadiah telah ditaja sepenuhnya oleh Perpustakaan Kuala Lumpur Cawangan Sri Sabah 3B.
 
Semoga program seperti ini akan diadakan pada masa akan datang.

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SRI SABAH 3B

 

19 Januari 2014 - Pada hari Ahad yang lalu, Persatuan Penduduk dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Surau Tarbiyah telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Sri Sabah 3B. Majlis yang telah diadakan dengan jayanya itu mendapat sokongan dan penyertaan penuh oleh NGO-NGO Sri Sabah 3B seperti Persatuan Ibu Tunggal, Bina Insan, Giat MARA, RELA dan Kelas Fardhu Ain KAFA Al- Muazzim.
 
Penduduk berkumpul di Dataran Sri Sabah 3B seawal pukul 7.30 pagi untuk sama-sama berarak sambil berselawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. menuju ke Surau At-Tarbiyah. Perarakan ini turut diiringi alunan kompang yang dimainkan oleh Pasukan Kompang KAFA Al-Muazzim.
 
Setelah sampai di surau, majlis diteruskan dengan bacaan suci Al-Quran yang dialunkan oleh Pengetua Kelas KAFA, Ustaz Abdul Jalil sebelum Ketua Perumahan DBKL membuat ucapan perasmian. Tuan Haji Zainal selaku Pengerusi Persatuan Penduduk merangkap penganjur majlis turut membuat ucapan ringkas.
 
Kumpulan Qasidah Al-Fatonah yang terdiri daripada belia Sri Sabah 3B kemudiannya menghiburkan para tetamu dengan qasidahnya yang merdu sebelum acara marhaban diteruskan. Pasukan Marhaban Pudu Ulu telah dijemput khas pada majlis ini bagi mengendalikan acara cukur jambul.
 
Majlis Sambutan Maulidur Rasul ini diakhiri dengan jamuan tengahari yang ditaja oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
 
Semoga majlis sebegini dapat diadakan pada masa-masa akan datang memandangkan penyertaan penduduk terhadap program-program yang dianjurkan kebelakangan ini telah mendapat sambutan luar biasa yang benar-benar memberangsangkan. Semoga perkembangan positif yang ditunjukkan oleh para penduduk Sri Sabah 3B dapat menarik minat semua penghuni Sri Sabah 3B untuk turut sama menyertai program mendatang.

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL BLOK 62


18 Januari 2014- Pada hari Sabtu yang lalu, penduduk Sri Sabah 3B telah mengadakan majlis Sambutan Maulidur Rasul. Majlis tersebut telah diadakan di Sekolah KAFA Al-Muazzim bermula selepas Maghrib. Program ini adalah anjuran Penduduk Blok 62 dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Surau Tarbiyah.

Majlis tersebut dimulai dengan ceramah berkisar perjuangan Rasulullah dan para sahabat diikuti Qasidah yang dialunkan oleh penceramah sendiri, Ustaz Abdul Hai Abas dengan iringan pasukannya. Turut hadir pada majlis ini adalah Persatuan Ibu Tunggal, wakil UMNO Bahagian dan penduduk Blok 62.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan jamuan yang lazat. Semoga program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan dating memandangkan sambutan terhadapnya sangat menggalakkan.

Wednesday 15 January 2014

Jualan Amal & Pengumpulan Barangan Terpakai untuk Mangsa Banjir

 
29 Disember 2013- Sebanyak RM660 telah dapat dikumpulkan hasil sumbangan barangan terpakai oleh para penduduk Sri Sabah 3B. Barangan terpakai yang telah disumbangkan adalah seperti surat khabar lama, majalah, buku-buku yang tidak mahu digunakan, barangan elektrik, barangan kaca dan barangan plastik. Barangan ini telah dikutip dari rumah ke rumah oleh para Pemuda UMNO Cawangan sejak Isnin lalu; 23 Disember 2013 sehingga Ahad; 29 Disember 2013.
 
 
Barangan terpakai tersebut kemudiannya telah dikumpulkan dan dijual semula untuk dikitar semula bagi menjana dana untuk dihulurkan kepada mangsa banjir. Sumbangan ini dihulurkan melalui Tabung Bantuan Mangsa Banjir NSTP. Bantuan ini telahpun selamat disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sri Sabah 3B, Rhymifitri Bin Abdul Rahim.
 
 
Selain aktiviti pengumpulan barangan terpakai, jualan amal turut diadakan bagi membantu mengumpul dana tersebut. Puteri UMNO Cawangan telah bertungkus lumus menjual barangan terpakai seperti tudung, selendang, pin tudung dan beg tangan pada hari Sabtu dan Ahad lalu di tapak Pasar Sri Sabah 3B bermula 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.
 
 
Produk makanan seperti laksa goreng, puding karamel dan marshmellow celup coklat turut dijual di tapak pasar tersebut. Kesemua barangan jualan adalah hasil sumbangan para penduduk yang prihatin terhadap mangsa banjir.


Ketua Wanita UMNO Cawangan, Puan Azizah Borhan turut mencadangkan agar program sebegini diadakan secara tahunan memandangkan manfaat yang diterima oleh penderma, sukarelawan dan penerima sumbangan adalah sangat baik. Begitu juga dengan kerjasama dan keprihatinan para dermawan.

 

Tuesday 14 January 2014

Pertandingan Mewarna dan Mengeja


Salam 1 Malaysia,

Buat warga Sri Sabah 3B, yang mana dah ada nama sahaja yang boleh masuk pertandingan ni.

Pada mereka yang x sempat letak nama plak, jgn risau. Anda boleh ke Dataran Sri Sabah pada hari yang sama; Ahad (19 Januai 2014) seawal pukul 7.30 pagi untuk kita sama-sama berarak ke surau bagi meraikan Sambutan Maulidur Rasul. Ada pelbagai acara telah diatur seperti ceramah, majlis cukur jambul dan persembahan-persembahan menarik khas sempena meraikan hari kelahiran Nabi tercint, Muhammad saw.

Jgn lupa temujanji kita Ahad ni ye....