2
Mac 2014 (Ahad)- Program Gotong-royong di tapak niaga
Perumahan Awam Sri Sabah 3B telah berlangsung pada hari Ahad yang lalu. Program
yang mendapat penglibatan penuh penduduk Blok 62 dan para peniaga di kawasan
tersebut merupakan acara yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Sri Sabah 3B
dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora.
Selain penglibatan kaum bapa,
kelibat para belia dan beliawanis Sri Sabah 3B turut kelihatan membantu. Hal
ini menunjukkan kesepakatan dan sikap saling bekerjasama sesama penduduk di
kawasan perumahan ini sangat utuh serta tidak mengenal usia. Kaum ibu juga
tidak lupa menghulurkan bantuan biarpun tidak begitu gagah dan bertenaga untuk
turut membersihkan kawasan. Mereka mengambil inisiatif dengan menyediakan
juadah dan air untuk para peserta melepaskan penat dan lelah.
Selain itu, penglibatan para peserta
juga tidak bertumpu pada satu kaum sahaja. Buktinya, kaum India dan Cina turut
turun padang membantu menjayakan program ini.
Acara bermula seawal pukul 8.00 pagi
di mana para peserta berkumpul di tapak niaga Blok 62. Acara dimulakan dengan
sesi pendaftaran peserta sebelum para peserta diberikan tugasan dan peralatan
untuk membersih. Para pekerja Alam Flora dan DBKL juga menunjukkan komitmen
tinggi dengan bersungguh-sungguh membantu para penduduk membersihkan kawasan
sekitar yang terlibat.
Menurut Pengerusi Persatuan
Penduduk, program seumpama ini akan dijalankan secara berperingkat memandangkan
ia memerlukan kesungguhan dan semangat yang tinggi serta penglibatan semua pihak terutama sekali
daripada penduduk setempat.
Antara faktor utama keberjayaan
pengendalian program dan pemilihan lokasi gotong-royong ini adalah ekoran
kejadian kelibat ular telah dikesan kira-kira lima hari yang lalu di kawasan
tersebut. Oleh itu, Persatuan Penduduk bersepakat mempercepatkan perlaksanaan
program gotong-royong ini walaupun pada awalnya tarikhnya telahpun ditetapkan
pada pertengahan bulan Mac 2014.
Semoga program seperti ini akan diadakan secara berkala dan
berterusan sepanjang tahun memandangkan manfaat yang diterima begitu baik
kepada semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak
langsung. Semoga ia juga dapat menyuntik semangat kepada para penduduk yang
masih segan untuk menyertai sebarang program yang akan diadakan pada masa-masa
akan datang.